DATIN Seri Rosmah Mansor ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jumaat lalu. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
DATIN Seri Rosmah Mansor ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jumaat lalu. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
BERNAMA

Putrajaya: Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya sementara menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes itu akan didengar Isnin ini.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, semasa dihubungi mengesahkan permohonan penangguhan itu akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Isnin.

Akberdin berkata mahkamah menetapkan 13 Oktober depan untuk pengurusan kes rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid sekolah Sarawak dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan.

Pengurusan kes bagi permohonan penangguhan dan rayuan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini.

Pada 24 September lalu, Rosmah, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal dalam permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid yang dihadapinya dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.

Semasa menolak kedua-dua permohonan Rosmah itu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan berkata kebenaran yang diberikan oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas kepada Sri Ram untuk menjalankan pendakwaan jenayah dalam kes Rosmah adalah tanpa keraguan berdasarkan Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) atas kapasitinya sebagai Pendakwa Raya

Beliau berkata Thomas telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau, selepas melantik Sri Ram untuk mengetuai pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kemudiannya memberi kuasa kepada beliau untuk menjalankan pendakwaan kes jenayah terhadap pemohon (Rosmah).

Rosmah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Mei lalu untuk membatalkan keseluruhan perbicaraannya, dalam usaha untuk dibebaskan daripada tiga pertuduhan rasuah serta menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan kesnya.

Rosmah, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas kesemua tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid itu dan beliau dijadual membela diri pada 5 Oktober.

– BERNAMA

TAG: Rosmah, tangguh, projek hibrid solar, permohonan, mahkamah rayuan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 5:12 PM