GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak meningkatkan kekerapan penerbangan masuk daripada 22 penerbangan seminggu ketika ini kepada 87 penerbangan, berkuatkuasa Jumaat ini.

Menteri Pengangkutan negeri, Datuk Lee Kim Shin berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Jumaat lalu.

Beliau berkata, banyak faktor diteliti untuk meningkatkan kekerapan penerbangan masuk itu yang akan dilaksanakan secara beransur.

"Pembukaan sektor pelancongan negeri secara perlahan-lahan, tambang penerbangan yang tinggi ketika ini serta permintaan perjalanan yang meningkat antara faktor yang mendorong kita untuk menambah penerbangan masuk ke Sarawak.

"Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan penumpang yang menerima vaksinasi lengkap dikecualikan daripada kuarantin ketika masuk ke Sarawak serta pembukaan semula sekolah dan universiti mulai Oktober ini juga akan meningkatkan permintaan terhadap penerbangan," katanya.

Kim Shin berkata, penambahan penerbangan masuk itu adalah dari Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Johor Baharu, Kota Baharu, Labuan dan Singapura ke destinasi di Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.

Mengulas lanjut, Kim Shin berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat dengan semua syarikat penerbangan dan pihak berkuasa penerbangan antaranya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Residen bagi meneliti jadual penerbangan baharu.

"Kita mahu memastikan jadual penerbangan baharu lancar dengan pembukaan penerbangan ke Sarawak secara beransur-ansur kerana dijangkakan jumlah penumpang akan meningkat mulai 1 Oktober ini.

"Dengan peningkatan kekerapan penerbangan ini, kita berharap semua penumpang mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 4:55 PM