BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) optimis sasaran 28,000 pakar perubatan berkhidmat di negara ini boleh dicapai dalam tempoh sembilan tahun menjelang 2030.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, walaupun jumlah doktor pakar yang meletak jawatan sejak 2016 hingga kini 948 orang, namun kadar peletakan jawatan dilihat semakin berkurangan sejak 2019.

Beliau berkata, penurunan jumlah peletakan jawatan itu hasil usaha penambahbaikan untuk memastikan doktor pakar kekal berkhidmat dengan KKM.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, KKM meningkatkan slot tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) untuk membolehkan lebih ramai pegawai perubatan melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Kepakaran mengikuti pengajian kepakaran melalui Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway.

"Kita juga melaksanakan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan… ini antara perkara yang kita lakukan untuk menimbulkan minat mereka dan usaha memastikan mereka kekal bersama KKM," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Baru) sama ada sasaran 28,000 pakar perubatan menjelang 2030 realistik untuk dicapai.

Sementara itu, dalam soalan berasingan mengenai status kemajuan projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Serian di Sarawak, Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, fasa pertama siap sepenuhnya 20 Julai 2017, manakala kemajuan fasa dua sehingga 31 Ogos 2021 ialah 49.59 peratus dan dijadualkan siap pada Jun depan.

Klinik kesihatan itu menawarkan perkhidmatan Klinik Pesakit Luar, Klinik Ibu dan Anak, rawatan pergigian, kecemasan, rehabilitasi, pengimejan dan perkhidmatan farmasi, katanya menjawab persoalan Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (GPS-Serian) mengenai status terkini projek itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 4:17 PM