Foto hiasan
Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tujuh lokaliti di Pahang dan Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu hingga 12 Oktober ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko di lokaliti terbabit.

Menurutnya, MKN memutuskan untuk mengenakan PKPD di Felda Rentam, Felda Tementi dan Felda Sebertak di Bera, Pahang.

"Selain itu, empat lokaliti di Tanjung Rambutan, Kinta turut dikenakan PKPD iaitu Kampung Bakok, Kampung Jambu, Kampung Lalang dan Kampung Dollah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, MKN turut meneliti pembentangan oleh KKM mengenai situasi semasa kawasan yang dikenakan PKPD sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya memutuskan untuk menamatkan PKPD di Kampung Orang Asli Sungai Gangai, Mukim Slim, Perak; Kampung Tamalian, Raub dan Kampung Paya Pelong, Temerloh di Pahang.

"Selain itu, turut ditamatkan ialah Kampung Warisan di Kota Kinabalu; Rumah Pangsa Tanjung Aru, Kampung Rugading di Kota Marudu dan Kilang Fu Yee di Kalabakan, Sabah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 7:30 PM