Gunung Kinabalu
Gunung Kinabalu
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Pengumuman kerajaan untuk melonjakkan pembangunan Sabah dan Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dilihat satu pembaharuan yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia sekali gus dilihat satu kemajuan bagi dua wilayah di Borneo itu untuk mendapatkan semula hak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bagi Pengerusi Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman, beliau percaya pasti ramai yang teruja mendengarnya kerana buat pertama kali dalam pengumuman rancangan lima tahun pembangunan negara, fokus kepada dua wilayah terbabit disebut berasingan dengan negeri lain.

Menurutnya, ia satu langkah bijak menepati tema 'Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan' sekali gus dilihat sebagai transformasi dalam mencapai matlamat untuk merapatkan jurang dua wilayah itu dengan Semenanjung.

"Tema RMK-12 itu nampaknya digarap dengan cukup baik khususnya dalam konteks untuk merapatkan jurang antara wilayah.

"Apa yang kita lihat sekarang ialah satu perkembangan baik dalam usaha Sabah dan Sarawak untuk menuntut semula hak-hak yang terkandung dalam MA63," katanya.

Menurutnya, ikrar Ismail Sabri untuk terus komited untuk menyelesaikan isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan MA63 harus disusuli dengan tindakan pelaksanaan supaya ia mencapai apa yang dihasratkan.

"Kita tentunya mengharapkan ia bukan setakat pengumuman tetapi harus disusuli dengan pelaksanaan yang saya yakin ia akan dikotakan Perdana Menteri.

"Ini jelas apabila beliau berjanji akan memantau secara dekat pelaksanaan semua yang dirancang untuk Sabah dan Sarawak dalam tempoh lima tahun RMK-12," katanya.

Pemantauan itu katanya, harus dilakukan dengan seketat mungkin untuk memastikan keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan di Sabah dan Sarawak diberi keutamaan dalam RMK-12.

Malah kerajaan turut menyatakan hasrat untuk fokus dalam penyediaan infrastruktur asas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 kilometer Lebuhraya Pan Borneo.

"Saya yakin apabila pembangunan Sabah dan Sarawak diberi perhatian khusus dan kemudian kepesatannya naik mendadak, hasrat untuk merapatkan jurang antara wilayah pasti akan tercapai," katanya.

Ketua Wanita, Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fatimah Abdullah pula berkata, Ismail Sabri memperlihatkan kesungguhan beliau untuk memberi tumpuan kepada Sarawak dalam RMK-12.

"Perdana Menteri secara spesifik, terang dan jelas menekan komitmen beliau untuk menyelesaikan isu berhubung tuntutan Sarawak berdasarkan MA63.

"Malah beliau turut menyentuh pembangunan Sarawak yang masih tidak setara dengan pembangunan di Semenanjung dalam aspek infrastruktur asas seperti jalan kampung dan jalan penghubung desa, perparitan, Infrastruktur untuk pendigitalan juga sangat diperlukan kerana ia adalah keperluan asas ke arah matlamat kita untuk membawa Sarawak melangkah ke era ekonomi digital," katanya.

Sebagai Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Fatimah turut mengharapkan peruntukan untuk membina Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) terus diberi perhatian.

"Saya juga mengharapkan dalam teras kelima iaitu membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan, fokus juga harus diberikan kepada Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 6:40 PM