Ramli Mohamed Yoosuf (kanan) meninjau 'Ops Samseng Jalanan' yang diadakan di dua lokasi di bandar ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Ramli Mohamed Yoosuf (kanan) meninjau 'Ops Samseng Jalanan' yang diadakan di dua lokasi di bandar ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Seramai 74 individu berusia 10 hingga 28 tahun ditahan dalam Ops Samseng Jalanan yang diadakan di dua lokasi di bandar ini, selama sembilan jam berakhir 10 malam tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, operasi dilakukan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Menurutnya, individu ditahan terdiri daripada 61 lelaki dan 13 wanita kerana melakukan pelbagai kesalahan jalan raya termasuk mengubah suai motosikal.

Katanya, dalam operasi kali ini pihaknya menahan sebanyak 50 motosikal yang diubah suai seperti menggunakan tayar kecil dan tiada nombor pendaftaran

"Daripada jumlah itu, sebanyak 20 motosikal disita kerana tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan selain 117 saman dikeluarkan.

"Antara kesalahan terbanyak adalah tidak memakai topi keledar iaitu sebanyak 46 kes, tidak memiliki lesen (21 kes) dan ubah suai nombor pendaftaran kenderaan (14 kes).

"Selain itu tiga kes direkodkan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya," katanya selepas meninjau Ops Samseng Jalanan di Balai Polis Trafik Kuantan, di sini, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 8:31 AM