GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan rayuan BPR akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 28 September ini secara berperingkat dan dijangka selesai pada 30 September 2021.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan memanfaatkan 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang diluluskan membabitkan peruntukan RM2.82 bilion.

Katanya, untuk fasa tiga, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300 termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima, mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak.

Menurutnya, pembayaran fasa tiga ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka.

"Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sentiasa terbela.

"Antara lain, beberapa bantuan tunai seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak. Pembayaran bantuan itu dijadual akan disalurkan pada Oktober hingga Disember 2021.

"Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa Tiga ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Keluarga Malaysia boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 2:40 PM