Adham Baba melawat Ruang Reka di Taman Rasa Sayang Paroi hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Adham Baba melawat Ruang Reka di Taman Rasa Sayang Paroi hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan dalam bidang 'deeptech' (deep technology) tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata, seramai 4,145 individu yang berkecimpung dalam bidang berkenaan berjaya mendapat pekerjaan sejak Januari hingga 31 Ogos lalu.

"Sasaran sebanyak 4,700 peluang pekerjaan menerusi inisiatif berkenaan dijangka dapat dicapai sebelum akhir tahun ini dan kita jangkakan lebih 5,000 peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan tahun depan.

"Kita menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan pelaksanaan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional.

"Ia dapat memperkasa tenaga lagi tenaga kerja Malaysia supaya lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa," katanya selepas selesai melawat Ruang Reka Komuniti dan Platform Hub Ekonomi Inovasi Sosial Negara di Taman Rasa Sayang, Paroi, di sini, tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh dan Pengerusi Komuniti Taman Rasa Sayang, Zulkifli Muhammed.

Dr Adham berkata, sebagai ahli tetap Majlis Pekerjaan Negara (NEC), MOSTI memberi tumpuan kepada kluster 'Deeptech' and 'Future Skills' atau skil asas yang memainkan peranan penting untuk memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden.

Beliau berkata, melaluinya dapat mempercepat lagi penerapan teknologi seperti Artificial Intelligence (AI), automasi dan dron.

"Usaha ini akan menambah peluang pekerjaan dan menjana pendapatan demi meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai Program Ruang Reka, beliau berkata ia bertujuan menggalakkan lebih ramai kalangan B40 dan M40 terutama mereka yang terkesan akibat dari pandemik covid-19 untuk menceburi bidang keusahawanan berlandaskan sains, teknologi dan inovasi (STI).

Dr Adham berkata, setakat ini YIM membangunkan dua projek rintis Ruang Reka termasuk Ruang Reka Taman Rasa Sayang dan Ruang Reka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di Kuala Terengganu.

Keterangan gambar

SEREMBAN 25 SEPTEMBER 2021. Datuk Seri Dr Adham Baba bertanyakan sesuatu kepada peserta mengenai kemahiran diperoleh di Ruang Reka ketika melawat Ruang Reka di Taman Rasa Sayang Paroi hari ini. Foto NSTP/Mohd Amin Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 3:04 PM