Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Akibat perselisihan faham, seorang lelaki maut dipercayai dipukul kenalannya dalam kejadian di Changkat Minden, Gelugor di sini, hari ini.

Mayat mangsa berusia 54 tahun itu ditemukan terbaring berhampiran motosikalnya dengan kesan kecederaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.30 petang daripada orang awam yang menyangka berlaku kemalangan jalan raya.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati tiada unsur kemalangan berlaku di sekitar kawasan itu dan polis mengesyaki wujud unsur jenayah.

"Temubual bersama saksi di tempat kejadian mendakwa kira-kira jam 1.30 petang, berlaku pergaduhan antara mangsa yang bekerja sebagai buruh dan suspek.

"Kedua-duanya yang juga warga tempatan itu saling mengenali dan dilihat sering minum minuman keras di kawasan itu dan perselisihan faham berkenaan mungkin menyebabkan suspek bertindak memukul mangsa.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa meninggal dunia disyaki akibat dipukul dan terdapat juga luka di telinga kanan dan lebam pada dahi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, saksi awam berkenaan mendakwa pada mulanya mangsa ditemukan terbaring berhampiran motosikal sebelum dialihkan bagi memberi bantuan pernafasan.

SEORANG lelaki mati setelah dipukul oleh rakannya berikutan salah faham dalam kejadian di Changkat Minden Heights di Gelugor di sini. FOTO Mikail Ong
SEORANG lelaki mati setelah dipukul oleh rakannya berikutan salah faham dalam kejadian di Changkat Minden Heights di Gelugor di sini. FOTO Mikail Ong

Katanya, pemeriksaan di sekitar kawasan itu juga tidak menemukan sebarang senjata tajam.

"Suspek berusia 42 tahun itu sudah dikenal pasti dan sedang dikesan bagi membantu siasatan.

"Mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 8:33 PM