Izzali Ismail


Alor Setar: Tiada kes positif Covid-19 membabitkan pelancong dikesan di Terminal Feri Kuala Kedah sehingga hari ini, selepas beroperasi semula semalam.

EXCO Pengangkutan negeri, Azman Nasrudin berkata, sejumlah 216 penumpang sudah melalui terminal berkenaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Melalui ujian pengesanan dibuat ke atas penumpang, tiada kes positif dilaporkan sejak hari pertama laluan feri ke Langkawi melalui jeti Kuala Kedah dibuka semalam.

"Dalam tempoh dua hari ini, penumpang yang menaiki feri didapati hampir penuh dan orang ramai yang bekerja dan tinggal di Langkawi juga perlu melalui proses SOP ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Terminal Feri Kuala Kedah hari ini.

Azman berkata, setakat ini hanya satu perjalanan feri laluan Kuala Kedah-Langkawi-Kuala Kedah dibuka setiap hari kepada orang ramai.

Sementara itu, EXCO Pelancongan, Firdaus Ahmad berkata, pembukaan Terminal Feri Kuala Kedah dijangka mampu meningkatkan pelancong ke Langkawi yang dibuka di bawah projek rintis gelembung pelancongan mulai 16 September lalu.

"Saya menyarankan pelancong yang mahu ke Langkawi membuat ujian saringan lebih awal bagi mengelak penularan Covid-19 di kawasan terminal sekiranya mereka didapati positif.

"Kita juga akan mencadangkan supaya pengendalian ujian saringan dapat diadakan di tempat lebih selamat bagi mengelak risiko jangkitan," katanya.

Beliau turut memaklumkan jumlah ketibaan pelancong yang direkodkan ke Langkawi sejak 16 September lalu, adalah seramai 12,607 orang membabitkan 11,853 pelancong domestik dan 754 antarabangsa.

Katanya, daripada jumlah itu 8,587 pelancong tiba melalui penerbangan dan 4,020 pelancong menggunakan jalan laut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 4:51 PM