Antara remaja yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja. FOTO DANIAL SAAD
Antara remaja yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja. FOTO DANIAL SAAD
Oleh Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Seramai 23,703 remaja berusia 12 hingga 17 tahun atau bersamaan 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan sudah menerima dos lengkap vaksinasi Covid-19 setakat jam 6.30 pagi tadi.

Data berkenaan diperoleh menerusi portal COVIDNOW.

Remaja yang belum lengkap divaksinasi pula merekodkan 579,204 orang atau 18.4 peratus.

Ia sekali gus menjadikan keseluruhan remaja yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin adalah 19.2 peratus atau 602,907 orang.

Baki 2,544,593 remaja atau 80.9 peratus belum lagi menerima suntikan vaksinasi.

Berdasarkan kemajuan program imunisasi remaja mengikut negeri, Labuan paling tinggi dengan merekodkan 47.7 peratus, diikuti Sabah (39.2 peratus), Sarawak (28.5 peratus), Perlis (24.5 peratus), Kedah (22.7 peratus) dan Pahang (21.2 peratus).

Kelantan pula merekodkan pemberian imunisasi sebanyak 18.4 peratus, disusuli Perak (17.9 peratus), Terengganu (16.4 peratus), Melaka (13 peratus), Negeri Sembilan (13 peratus) dan Johor 12.1 peratus.

Kawasan Lembah Klang yang terdiri daripada Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan 6.8 peratus, manakala Pulau Pinang mencatatkan enam peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 12:36 PM