Anggota bomba mengangkat mayat kanak-kanak yang ditemukan lemas selepas bot dinaikinya terbalik dan karam di Sungai Padas, Pangi di Tenom hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba mengangkat mayat kanak-kanak yang ditemukan lemas selepas bot dinaikinya terbalik dan karam di Sungai Padas, Pangi di Tenom hari ini. Foto Ihsan JBPM
Juwan Riduan

Tenom: Kanak-kanak berusia 12 tahun yang hanyut selepas bot dinaikinya terbalik dan karam di Sungai Padas berhampiran Kampung Kalandos Pangi di sini, ditemukan lemas hari ini.

Mayat Melvin Junaidi ditemukan orang awam pada 4.45 petang di Sungai Padas, Batu 60 di Beaufort kira-kira 33 kilometer daripada lokasi bot terbalik dan karam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Misran Bisara berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Kampung Binunuk, Beaufort untuk proses pengecaman oleh keluarga mangsa.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot karam Kampung Kalandos Pangi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditangguhkan pada 5 petang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Misran berkata, SAR akan disambung semula esok untuk mencari seorang lagi mangsa yang masih belum ditemui iaitu Joseph Sayah, berusia 55 tahun.

Dalam kejadian pada 4 petang semalam, kedua-dua mangsa dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka bersama dua lagi mangsa yang terselamat karam di Sungai Padas selepas keluar membeli barangan keperluan di pekan Tenom.

Bot yang dinaiki dikatakan tiba-tiba terbalik sebelum karam disebabkan arus deras ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 8:31 PM