GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Keuntungan mencecah 10 hingga 20 peratus dalam tempoh 24 jam jika melabur menerusi skim Futurebioption.

Itu janji manis sindiket penipuan yang berjaya memperdayakan eksekutif pentadbiran sehingga lelaki terbabit mengalami kerugian RM62,300, awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, kejadian berlaku apabila mangsa mengenali seorang wanita menerusi laman sosial Facebook (FB) pada 8 September lalu.

Menurutnya, selepas beberapa hari berkenalan, suspek menawarkan peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan antara 10 hingga 20 peratus dalam tempoh 24 jam.

"Mangsa bersetuju untuk melabur dan diberikan pautan untuk membuat urusan pendaftaran dan transaksi di laman web yang diberikan suspek.

"Mangsa kemudian membuat transaksi pertama sebanyak RM1,000 dan kemudian menerima wang pulangan sebanyak 10 peratus seperti yang dijanjikan.

"Suspek menggalakkan mangsa untuk membuat pelaburan seterusnya dalam jumlah lebih besar supaya mendapatkan keuntungan lebih banyak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa membuat beberapa transaksi lain ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek kerana yakin dapat mengaut keuntungan seperti dijanjikan.

Menurutnya, selepas memperolehi keuntungan dan bonus yang dijanjikan, mangsa mahu membuat pengeluaran wang keuntungan pelaburan, tetapi dimaklumkan perlu melalui pemeriksaan keselamatan kerana membabitkan jumlah wang yang banyak.

Katanya, mangsa tidak berpuas hati kerana mengesyaki ditipu lalu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 5:36 PM