Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Masyarakat digalakkan sentiasa berwaspada dengan kesihatan diri dan keluarga dengan melakukan ujian kendiri serta melaporkan terus kepada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Ia adalah cara untuk mengurangkan kes kematian di luar hospital (BID) serta kematian secara senyap.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, polisi ketika ini adalah untuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau CAC dan pihaknya akan menghantar ujian kendiri untuk tujuan itu.

"Kita akan hantar sekurang-kurangnya ujian kendiri. Kalau tidak, beli kit kendiri dulu, buat ujian dan asingkan diri sendiri.

"Ia akan menjadi polisi baru sekarang kerana jika kita tidak hentikan penularan daripada kontak rapat, jumlah jangkitan akan terus meningkat," katanya katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Khairy berkata, pergerakan rentas negeri jika liputan imunisasi mencapai 90 peratus dijangka tidak menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.

Sebaliknya beliau berkata, perhimpunan dan perkumpulan dikesan menjadi punca kepada peningkatan kes jangkitan.

Beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang sebarang risiko lonjakan kes positif di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 3:18 PM