LELAKI bersama barangan kawalan yang cuba diseludup keluar dirampas anggota PPM Kudat. FOTO Ihsan PPM
LELAKI bersama barangan kawalan yang cuba diseludup keluar dirampas anggota PPM Kudat. FOTO Ihsan PPM
Juwan Riduan

Kudat: Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar barangan kawalan di kawasan jeti Awam Esplanade Sidek, di sini, berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Individu berusia 47 tahun terbabit ditahan bersama pelbagai barangan kawalan antaranya minyak masak, gula, tepung dan petrol yang dianggarkan bernilai RM80,545.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat Asisten Superintendan Cyrill Douglas berkata, hasil pemantauan dan risikan mendapati lelaki terbabit membawa beberapa jenis barang kawalan.

Katanya, suspek dipercayai cuba membawa semua barangan berkenaan untuk diseludup ke negara jiran dengan menggunakan bot pancing miliknya.

"Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui pelbagai jenis barangan kawalan dan suspek gagal mengemukakan dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tujuan berkenaan.

"Nilai keseluruhan tangkapan dan rampasan berjumlah RM80,545 berdasarkan harga pasaran semasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Cyrill berkata, semua barang rampasan dan individu ditahan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 2:38 PM