Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari. FOTO ROHANIS SHUKRI
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari. FOTO ROHANIS SHUKRI
Suraya Roslan


Langkawi: 'Jangan cuba nasib'. Itu amaran diberikan Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari kepada pelancong yang tidak cukup syarat untuk berkunjung ke pulau peranginan berkenaan.

Shariman berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

"Kita ambil contoh kes terbaru, dua pelancong wanita yang mahu masuk ke Langkawi diarah berpatah balik ke Kuala Perlis selepas didapati suntikan dos vaksin Covid-19 mereka belum cukup tempoh matang 14 hari.

"Hasil siasatan, mereka mengakui 'mencuba nasib' sekiranya melepasi pintu ketibaan untuk memasuki Pulau Langkawi," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, pihaknya tidak mengeluarkan kompaun kepada dua wanita itu berikutan mereka dihalang ketika cubaan masuk di Terminal Feri Kuah, di sini.

"Bagaimanapun, sekiranya kita mendapati ada pelancong yang tidak cukup syarat seperti vaksin tidak mencapai tempoh matang 14 hari berlegar-legar di beberapa lokasi tumpuan di Pulau Langkawi, kita akan mengeluarkan kompaun kepada mereka.

"Ini jelas melanggar SOP sektor pelancongan, jadi tidak perlu mencuba nasib," katanya.

Menurutnya, dua wanita berusia 32 dan 35 tahun itu dikesan melakukan kesalahan terbabit ketika pemeriksaan polis ke atas semua penumpang yang baharu tiba di Terminal Feri Kuah pada 12 tengah hari, 19 September lalu.

"Kedua-duanya diiring polis dan diarahkan menaiki feri kenderaan dan penumpang dari Dermaga Tanjung Lembung pada 2 petang bagi memastikan mereka betul-betul pulang," katanya.

Selain itu, Shariman berkata, tiada kompaun dikeluarkan kepada pelancong kerana kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) sempena pembukaan projek rintis gelembung pelancongan pertama di negara ini, setakat ini.

"Semua pelancong dilihat mematuhi SOP dan mengambil langkah keselamatan dengan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal.

"Kita sangat berpuas hati dengan pematuhan SOP dalam kalangan pelancong setakat ini, dan berharap ia berterusan," katanya.

Katanya, pemantauan polis dilakukan di semua lokasi tumpuan pulau peranginan itu termasuk di Pantai Cenang.

"Selain pelancong, kita juga membuat pemeriksaan premis perniagaan dengan hanya membenarkan pekerja yang sudah lengkap vaksin untuk bekerja.

"Setakat ini, semua pemilik premis mematuhi syarat ini.

"Kerjasama setiap pelancong penting dalam memastikan projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi mencapai kejayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 2:26 PM