Harga barangan terutama ayam dan sayuran didapati meningkat naik kebelakangan ini beri kesan kepada pengguna dan peniaga. FOTO Mohd Amin Jalil
Harga barangan terutama ayam dan sayuran didapati meningkat naik kebelakangan ini beri kesan kepada pengguna dan peniaga. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kenaikan mendadak harga ayam segar dan beberapa jenis sayur dan telur ayam di sekitar daerah ini memberi kesan kepada ramai pengguna termasuk peniaga kecil.

Tinjauan di beberapa pasar awam mendapati harga ayam meningkat antara RM9 hingga RM11 sekilogram (kg) berbanding RM7.50 sebelum ini.

Harga beberapa jenis sayur dilihat mengalami kenaikan tinggi antaranya timun yang dijual pada harga RM4.50 sekilogram (kg) berbanding RM3 sebelum ini diikuti kacang panjang RM10 kg (RM7 kg sebelum ini).

Turut meningkat naik ialah cili api merah dan hijau yang dijual pada harga RM14.99 kg (RM12 kg sebelum ini) manakala sawi dijual RM4.99 kg berbanding RM3.50 sebelum ini.

Pengerusi Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil Negeri Sembilan (PPPKNS) Cawangan Seremban, Mohamad Yusoff berkata, kenaikan barangan berkenaan memberi kesan bukan sahaja kepada suri rumah malah peniaga kecil.

Beliau berkata, kenaikan harga ayam sememangnya sudah dijangka yang mungkin disebabkan harga dedak sebagai makanan ayam meningkat.

"Bagaimanapun kenaikan harga sayur menimbulkan resah kalangan ramai pengguna kerana kenaikannya agak tinggi dan membebankan.

"Berdasarkan maklumat, kita dapati kenaikan harga sayur ini dipercayai berpunca daripada pembekal," katanya ketika ditemui di sini, tadi.

Menurutnya, ketika ini harga telur ayam gred C juga tinggi dengan kadar harga gred A sebelum ini.

Mohamad berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat membuat pemantauan jika berlaku aktiviti manipulasi harga barangan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kami berharap KPDNHEP dapat bertindak terhadap isu harga ayam, telur dan sayur ini kerana ia beri kesan kepada ramai pengguna termasuk penjaja kecil," katanya.

Suri rumah, Siti Zaleha Abd Jalil, 55, berkata berlaku perbezaan harga ayam dan sayur-sayuran sejak beberapa minggu lalu.

"Harganya ayam agak tinggi meningkat sekitar 30 peratus namun sebagai pengguna tiada pilihan dan sebagai langkah terbaik kami terpaksa berjimat dan kena bijak berbelanja.

"Saya harap keadaan ini bersifat sementara kerana kenaikan itu memberi kesan kepada kos belanja dapur," katanya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, baru-baru ini dilaporkan berkata, kenaikan harga makanan ayam yang mempengaruhi harga hasil ternakan itu bersifat sementara.

Nik Muhammad Zawawi berkata, kenaikan harga ayam berlaku ketika ini berikutan negara terpaksa mengimport jagung yang bekalannya turut terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 2:16 PM