GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah mencapai sasaran 60 peratus daripada penduduk dewasa di negeri ini lengkap vaksin Covid-19 semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, pencapaian itu menunjukkan Sabah berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran imuniti kelompok pada akhir bulan depan.

"Peratusan populasi dewasa Sabah yang sudah lengkap divaksin, semalam (kelmarin) mencapai 59.4 peratus.

"Jadi, bolehlah diandaikan bahawa peratusan vaksinasi populasi dewasa Sabah sudah mencapai 60 peratus pada hari ini (semalam)," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, bagi pemberian vaksin harian kelmarin, seramai 49,717 orang menerima vaksin di Sabah.

Katanya, ia merangkumi seramai 29,809 orang penduduk dewasa dan 19,908 orang remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun.

Menurutnya, penerima dos pertama vaksin pula mencapai 72.1 peratus setakat kelmarin atau bersamaan 1,959,277 orang daripada keseluruhan penduduk dewasa di Sabah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 8:16 AM