GUAN Eng bersama Gobind (kanan) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
GUAN Eng bersama Gobind (kanan) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang broker jam tangan hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng, membeli seutas jam tangan mewah buatan Switzerland bernilai RM40,000 daripadanya.

G Rajan, 66, berkata, beliau membeli tangan jam berjenama Maurice Lacroix daripada seorang pengedar atas permintaan Zarul Ahmad, pengarah eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (Zenith).

Zenith adalah kontraktor utama projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Saksi pendakwaan kelima itu bagaimanapun berkata, beliau tidak ingat tarikh sebenar pembelian itu tetapi ia berlaku antara 2013 dan 2015.

Rajan berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu atas empat pertuduhan membabitkan pelaksanaan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan-jalan utama bernilai RM6.3 bilion.

Ketika menjelaskan secara terperinci tugasnya sebagai broker jam tangan, Rajan berkata, beliau berjumpa dengan pembekal dan akan membeli jam tangan daripada mereka dan kemudian akan menunjukkan barangan kepada pelanggannya.

"Saya membeli Maurice Lacroix dengan harga RM20,000 dan kemudian menjual kepada Datuk Zarul Ahmad dengan harga RM40,000," katanya.

Ditanya kenapa ada perbezaan harga yang begitu ketara, Rajan berkata, harga pengedar adalah RM20,000 manakala harga runcit adalah RM40,000.

Sementara itu, ketika diperiksa balas oleh peguam Lim, Gobind Singh Deo, saksi itu berkata, beliau telah mengambil tiga hingga 10 utas jam tangan untuk ditunjukkan kepada Zarul Ahmad di pejabatnya.

Gobind: Apa yang dia (Zarul Ahmad) melakukan dengan jam tangan tersebut?

Rajan: Kadang-kadang dia beli untuk kakitangannya dan kadang-kadang untuk diri sendiri.

Gobind: Jadi dia mengumpul jam tangan?

Rajan: Ya.

Gobind: Pernah bertemu dengan Lim Guan Eng?

Rajan: Tidak. Tidak pernah.

Gobind: Saya menyatakan bahawa anak guam saya tidak ada kaitan dengan jam tangan itu?

Rajan: Saya tidak tahu apa-apa. Saya tidak pernah ada urusan dengannya.

Prosiding hari ini ditangguhkan lebih awal daripada kebiasaan kerana Gobind dan Lim, masing-masing Ahli Parlimen Puchong dan Bagan, perlu menghadiri persidangan Parlimen.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima wang rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Guan Eng dituduh melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Dalam pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh oleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur, pada Mac 2011.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, juga berdepan dengan dua tuduhan menyebabkan dua plot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 6:49 PM