Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Nasional (NRRTF) yang digerakkan ke negeri yang menghadapi peningkatan kes Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, NRRTF ditubuhkan bagi menyokong sumber tenaga petugas kesihatan di negeri atau kawasan terjejas.

"Apabila kita tingkatkan kapasiti sama ada katil modular unit rawatan rapi (ICU) atau hospital medan dan sebagainya, sudah tentu kita perlukan tenaga kerja tambahan. Sebab itu saya arahkan supaya dapat ditubuhkan satu 'National Rapid Response Task Force'.

"Ia boleh kita atur gerak ke kawasan atau negeri berhadapan dengan peningkatan kes dan kapasiti. Contoh, di Pulau Pinang kita telah atur gerak 223 petugas kesihatan. Di Kedah, saya baru melawat Ahad lalu, ada peningkatan kes, saya telah atur gerak 156 petugas kesihatan begitu juga di Sabah, 102 kakitangan kesihatan diatur gerak.

"Kita akan 'rotate' kakitangan ini untuk pastikan kakitangan kesihatan mencukupi di kawasan kes meningkat dan kedua, untuk pastikan petugas barisan hadapan di negeri itu tidak hadapi 'burnout' atau keadaan tidak dapat dikawal 'workload' mereka," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy ketika sesi soalan lisan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA
Khairy ketika sesi soalan lisan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Teo Nie Ching (PH-Kulai) sama ada kerajaan ingin menambah kakitangan kesihatan akibat penambahan katil bagi rawatan Covid-19.

Khairy Jamaluddin berkata, KKM juga akan memperluaskan lagi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) maya yang diwujudkan di Lembah Klang ke negeri lain, terutama di kawasan yang memerlukan dan yang merekodkan kes tinggi.

Sementara itu, katanya, setakat ini, RM593 juta dibelanjakan bagi perolehan darurat peralatan tambahan hospital yang diperlukan bagi merawat kes Covid-19.

"Perolehan yang dibuat pada 2020 dan tahun ini (2021) diagihkan mengikut keperluan ke semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

"Ia termasuk peralatan seperti katil pesakit biasa, katil pesakit ICU, ventilator, ultrabunyi, 'body freezer', kontena mayat, silinder oksigen dan lain-lain.

"Ini tidak termasuk sumbangan peralatan yang diterima dari dalam dan luar negara yang bernilai RM148 juta," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang mahu mengetahui status kebolehupayaan alatan hospital kerajaan untuk merawat pesakit Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 1:09 PM