GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bercadang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam bagi memberi jaminan dan keyakinan orang awam untuk berurusan di bangunan kerajaan.

JPA dalam kenyataan memaklumkan, bagaimanapun, kewajipan itu tidak membabitkan individu yang benar-benar mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pengecualian penerimaan vaksin atas faktor kesihatan.

Katanya, itu antara cadangan yang akan dibawa oleh pihaknya ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diputuskan.

"Secara dasarnya, semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

"Justeru, semua penjawat awam perlulah mematuhi peraturan sedia ada termasuk dalam urusan kehadiran bertugas di pejabat apabila mereka diarahkan bertugas oleh Ketua Jabatan.

"Kita hendaklah melindungi diri kita sebelum kita mahu melindungi orang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

JPA berpandangan, beberapa langkah boleh diambil oleh kementerian atau jabatan masing-masing berdasarkan peraturan semasa yang sedia ada bagi memastikan penjawat awam secara keseluruhannya dapat mengambil vaksin.

"Sehingga kini, jumlah peratusan penjawat awam yang mengambil vaksin ini sudah mencapai hampir 98 peratus berbanding kelompok mereka yang belum mengambil vaksin adalah kecil.

"Namun perkara ini perlu diberikan keutamaan bagi memberikan keyakinan dan jaminan untuk orang ramai datang berurusan dengan penjawat awam di premis kerajaan di samping usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman mencadangkan untuk mewajibkan saringan berkala ke atas penjawat awam yang enggan divaksin tanpa alasan kesihatan.

Bagaimanapun, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berpendapat kos saringan berkala itu perlu ditanggung oleh penjawat awam kerana kerajaan tidak patut dibebankan dengan perbelanjaan tambahan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 8:20 PM