GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Penggunaan kemudahan katil di hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan menunjukkan perkembangan positif apabila berada pada kadar bawah 80 peratus tahap penggunaannya.

Menerusi infografik dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tadi, kadar penggunaan wad ICU kini berada di tahap 75.2 peratus manakala katil di hospital ialah 70.4 peratus.

Peratusan itu dilihat semakin menurun iaitu sekitar 50.3 peratus bagi kadar penggunaan alat bantuan pernafasan di negara ini serta di pusat kuarantin iaitu pada tahap 58.3 peratus.

Namun mengikut pecahan bagi setiap negeri, lima negeri mencatatkan penggunaan wad ICU melebihi 80 peratus iaitu Kedah sebanyak 97.5 peratus, disusuli Johor (93 peratus), Pulau Pinang (92.4 peratus), Perak (83.6 peratus) dan Terengganu (82.1 peratus).

Bagi penggunaan katil di hospital, terdapat lima negeri yang melaporkan peratusan melebihi 80 peratus kadar penggunaannya iaitu 89.9 peratus dicatatkan di Johor, diikuti Perlis (89.1 peratus), Pulau Pinang (83.6 peratus), Kelantan (82.7 peratus) serta Terengganu (81.6 peratus).

Penggunaan pusat Kuarantin pula melihat Johor menjadi negeri tertinggi iaitu 85.1 peratus kadar penggunaannya disusuli Pahang (79 peratus) dan Kelantan (69.6 peratus).

Perak pula menjadi negeri tertinggi kadar penggunaan alat bantuan pernafasan iaitu 78.5 peratus serta Kedah (77.6 peratus), Pulau Pinang (75.2 peratus) dan Kelantan (70.5 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 4:16 PM