ZAWAWI (kanan) bersama Mohamad Zikril (dua dari kanan) memantau harga ayam di Pasar Moden Seksyen 6, Shah Alam susulan berlakunya kenaikan harga ayam di beberapa tempat di Selangor. FOTO Faiz Anuar
ZAWAWI (kanan) bersama Mohamad Zikril (dua dari kanan) memantau harga ayam di Pasar Moden Seksyen 6, Shah Alam susulan berlakunya kenaikan harga ayam di beberapa tempat di Selangor. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kemelut harga ayam yang berlarutan sejak dua minggu lalu dijangka berakhir apabila seramai 333 peruncit dan pembekal ayam di negeri ini bersedia menurunkan harga ayam sebagaimana disarankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, maklum balas itu diterima susulan pemeriksaan ke atas 339 premis berkenaan antara 13 hingga 19 September lalu berikutan kenaikan mendadak harga ayam di pasaran.

"Hasil pemeriksaan mendapati peniaga ayam di sekitar Selangor memberi kerjasama baik untuk membuat semakan semula dan menurunkan harga jualan.

"Sejumlah 247 premis (72.86 peratus) premis sedia menjual pada harga lebih rendah disarankan iaitu RM9.50 sekilogram, manakala 86 (25.36 peratus) premis bersetuju membuat perubahan harga jualan dengan menurunkan harga secara serta merta kepada RM9.50 sekilogram.

"Bagaimanapun sebanyak enam (1.76 peratus) premis pula, setuju secara bersyarat untuk menurunkan harga iaitu apabila pembekal dapat menjual dengan harga borong yang lebih rendah," katanya dalam sidang media selepas Walkabout Pemantauan Harga Ayam di Pasar Moden Seksyen 6, di sini, tadi.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah.

Mohd Zawawi berkata, terkini harga purata jualan runcit ayam mula dijual di antara RM8.50 sehingga RM9.50 sekilogram.

"Ini bermakna majoriti peniaga dan pemborong bersedia mengurangkan harga bagi membantu pengguna mendapatkan ayam pada harga lebih berpatutan.

"Harga ini adalah hasil daripada semakan semula dan perubahan harga yang dibuat oleh pihak peniaga semasa pemeriksaan penguatkuasaan dijalankan penguat kuasa KPDNHEP Selangor," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, kedudukan harga ayam di pasar awam utama dan premis runcit di seluruh Selangor menunjukkan prestasi yang baik dengan kerjasama daripada peniaga yang patuh untuk menurunkan harga jual.

"Contohnya Pasar Awam Pekan Subang; Pasar Selayang Baru, Gombak dan Pasar Awam Sungai Pelek, Sepang sebelum ini menjual ayam pada harga RM10 sekilogram dan sudah menurunkan harga kepada RM9.50.

"Pasar Awam Kajang yang menjual ayam pada harga RM9.90 sekilogram menurunkan harga kepada RM9.50 sekilogram. Begitu juga peniaga di Pasar Awam Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu dan Pasar Awam Sungai Besar, Kuala Selangor," katanya.

Justeru itu katanya, perkembangan itu menunjukkan kedudukan harga ayam di pasaran Selangor kini, dalam situasi terkawal dan stabil.

Menurut Mohd Zawawi, pada masa sama KPDNHEP Selangor turut mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPBM) mengikut Seksyen 21, AKHAP 2011 sebanyak dua notis kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat terperinci.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 3:13 PM