BUAYA yang ditangkap di Kampung Nagapas. FOTO Ihsan APM
BUAYA yang ditangkap di Kampung Nagapas. FOTO Ihsan APM
Juwan Riduan


Papar: Buaya yang sebelum ini tular di media sosial selepas dilihat di atas jalan di Kampung Nagapas, di sini, Rabu lalu, akhirnya ditangkap, malam tadi.

Reptilia sepanjang kira-kira lima meter (m) itu ditangkap jam 7.30 malam oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Papar yang turut dibantu penduduk kampung.

Buaya berkenaan pada awalnya dikesan penduduk kampung, kira-kira 100 m dari lokasi pertama haiwan itu ditemui minggu lalu.

Susulan itu, penduduk kampung terus menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan menangkap buaya berkenaan.

Seorang penduduk, Richard Limbang, 52, berkata, penduduk kampung pada awalnya sukar untuk mendekati buaya berkenaan atas faktor keselamatan.

Namun katanya, sebaik pasukan APM tiba, penduduk yang turut membawa peralatan seperti tali terus membantu untuk menjerat haiwan berkenaan.

"Usaha untuk menangkap haiwan berkenaan agak sukar ekoran keadaan badannya yang besar selain amat ganas.

"Bagaimanapun, haiwan berkenaan akhirnya berjaya ditangkap selepas lebih sejam 'bertarung' dengan pasukan APM dan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Richard berkata, haiwan itu kemudiannya dibawa oleh APM dan Jabatan Hidupan Liar Sabah yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Sementara itu, APM dalam kenyataan medianya hari ini berkata, sebaik menerima laporan mengenai kehadiran reptilia, sepasukan anggota APM Papar terus bergerak ke lokasi.

Katanya, dengan bantuan penduduk kampung, buaya dengan berat hampir 700 kilogram berjaya ditangkap.

"Seterusnya buaya itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 9:57 AM