Asrol Awang

Kuantan: Seramai 42,875 remaja berusia 16 dan 17 tahun di negeri ini dijangka menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja Pahang pada 30 September ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, remaja berkenaan membabitkan pelajar institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, selain itu, ia turut membabitkan pelajar dari Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Maahad Tahfiz Negeri Pahang serta institusi swasta.

"PICK Remaja Pahang membabitkan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Pahang adalah seramai 173,000 orang.

"Bagaimanapun, ia menumpukan kepada 42,875 remaja berusia 16 dan 17 tahun bermula hari ini hingga 30 September depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksian (PPV) Wisma Belia, Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Seramai 1,003 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Putih, SMK Indera Mahkota 2 dan SMK Bukit Sagu menerima dos pertama berkenaan.

Sementara itu, bagi remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun yang mempunyai masalah kesihatan, Dr Nor Azimi berkata, program vaksinasi berkenaan sudah bermula pada 15 September lalu.

Katanya, remaja berkenaan menerima suntikan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA), di sini; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh; Hospital Pekan; Hospital Kuala Lipis dan Hospital Bentong.

"Sehingga kini, seramai 183 remaja yang mempunyai masalah kesihatan sudah diberi suntikan berkenaan.

"Justeru, kerjasama ibu bapa dan penjaga amat penting dengan membenarkan anak mereka menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi membantu mengurangkan kadar jangkitan di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 6:05 PM
DR Nor Azimi (kanan) melihat seorang pelajar menerima suntikan dos pertama pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Wisma Belia, Kuantan. FOTO Asrol Awang
DR Nor Azimi (kanan) melihat seorang pelajar menerima suntikan dos pertama pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Wisma Belia, Kuantan. FOTO Asrol Awang