Aizat Sharif


Kangar: Kerajaan negeri Perlis akan meneliti terlebih dahulu punca sebelum mengambil tindakan sekiranya terdapat remaja berusia 16 hingga 18 tahun enggan menerima vaksin Covid-19 seperti ditetapkan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) negeri, Rozieana Ahmad berkata, setakat ini tiada pelajar dalam kategori usia berkenaan didapati tidak hadir atau menolak untuk menerima vaksin diperuntukkan kepada mereka.

"Buat masa ini, tiada yang menolak, namun kami akan meneliti proses ini apabila mendapat laporan daripada pihak sekolah sekiranya terdapat ada pelajar dalam kategori ini tidak hadir atau enggan menerima vaksin Covid-19.

"Nama pelajar daripada laporan sekolah itu kemudian akan diserahkan terus kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk dikenalpasti dan mungkin akan ada tindakan selanjutnya bagi memastikan pelajar tidak menerima vaksin ini akan tetap menerima vaksin berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan operasi pemberian vaksin terhadap pelajar Tingkatan Empat dan Lima dari seluruh sekolah di Perlis di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan 2020, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya belum memikirkan mengenai tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya berlaku penolakan vaksin dalam kalangan pelajar bagi kategori usia berkenaan.

Menurutnya, buat masa ini, pemberian vaksin bagi golongan remaja berusia atas 12 tahun khususnya mereka yang berada dalam Tingkatan Empat hingga Enam amatlah penting kerana sekolah akan dibuka tidak lama lagi.

"Walaupun kami menggalakkan pengambilan vaksin ini oleh golongan remaja dari kategori usia ini menerusi sekolah masing-masing, kebenaran ibu bapa dan penjaga mereka tetap diperlukan dalam memastikan vaksin dapat diberikan kepada mereka tanpa sebarang isu.

"Dalam hal ini, kami mengharapkan proses vaksinasi dapat diberikan kepada semua pelajar berusia 12 tahun ke atas dan pada masa sama, akan mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa dan penjaga mereka untuk memastikan anak mereka dapat divaksin.

"Walaupun ia dilakukan secara sukarela, ini bukanlah bermakna remaja ini boleh hanya pergi atau 'walk-in' sahaja ke PPV tanpa kebenaran ibu bapa dan penjaga mereka kerana kebenaran keluarga mereka penting kerana kami mahu Perlis dapat mencapai imuniti kelompok atau 'herd imunity' sebelum akhir tahun ini," katanya.

Seramai 3,747 pelajar Tingkatan Lima dari seluruh sekolah menengah di Perlis akan mula menerima vaksin jenis Pfizer di tiga PPV di negeri itu iaitu di Dewan 2020, Kangar, Kubang Gajah di Arau dan Dewan Seri Melati, Beseri di Padang Besar bermula pada hari ini hingga Rabu hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 2:36 PM