Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Penerima vaksin tunggal CanSino akan dipertimbangkan untuk menerima dos penggalak sekiranya berkeperluan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pertimbangan itu juga dinyatakan CanSino dalam permohonannya kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), yang mana penerima vaksin boleh diberikan dos kedua selepas enam bulan menerima pelalian berkenaan.

"Bagaimanapun, kita akan memantau data dari negara lain yang menggunakan CanSino dahulu. Sekiranya mendapati mereka memberikan dos kedua selepas pemberian dos tunggal itu, kita akan mempertimbangkan.

"Apa yang positif mengenai vaksin itu ialah kita mempunyai kilang di Malaysia dan kerajaan tidak mempunyai masalah dari segi perolehan," katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dan Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Sementara itu, ditanya sama ada negara mempunyai bekalan vaksin Covid-19 yang cukup atau memerlukan perolehan baharu untuk memberi dos penggalak, Khairy berkata, jumlah vaksin sedia ada masih mencukupi untuk tujuan itu dan juga bagi pelaksanaan PICK Remaja.

"Bagaimanapun, mengenai dos penggalak ini kita akan umumkan perinciannya seminggu dua lagi. Kalau mengenai bekalan, Insya Allah cukup," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 bagi golongan rentan dengan langkah itu akan dilaksana selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara mencapai 80 peratus.

Khairy turut dilapor berkata, pihaknya bersedia memulakan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 seawal bulan depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 12:04 PM