Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Dalam tempoh seminggu, Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya menyelesaikan lebih 500,000 masalah ketiadaan paparan sijil vaksin digital dalam aplikasi MySejahtera.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, ia berupaya diselesaikan selepas pihaknya mengenal pasti punca masalah dan mengemaskini maklumat penerima vaksin dari sesama ke semasa.

Katanya, pihaknya mengambil maklum aduan individu yang tidak menerima sijil itu selepas melengkapkan dos pertama atau kedua.

"Sebanyak 95,347 daripada aduan pengguna MySejahtera berpunca daripada status penerima vaksin sebagai tanggungan, menyebabkan sijil vaksin digital individu terikat dengan pemilik akaun MySejahtera.

"Untuk masalah itu, pemilik akaun perlu keluarkan akaun tanggungan bagi membolehkan tanggungan mendaftar akaun MySejahtera miliknya sendiri.

"KKM turut menerima 71,408 aduan lagi mengenai paparan sijil digital vaksin yang berpunca daripada PPV (Pusat Pemberian Vaksin) tidak melengkapkan proses dokumentasi setelah individu selesai menerima vaksin," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Khairy berkata, selain itu, terdapat juga masalah berkait pemilik akaun MySejahtera tidak mengesahkan nombor kad pengenalan dalam akaun mereka malah, ada yang dikesan mempunyai lebih daripada satu akaun.

"Untuk yang mempunyai lebih akaun, sijil digital vaksin hanya akan dipaparkan di akaun MySejahtera yang digunakan ketika menerima vaksin," katanya yang memberitahu penyelarasan sedang dibuat dengan PPV bagi memastikan pengguna menerima sijil digital selepas vaksinasi.

Beliau mengingatkan petugas PPV supaya sentiasa semak dan memastikan penerima vaksin telah memperoleh sijil vaksin digital mereka sebelum meninggalkan PPV.

"Terdapat juga aduan daripada individu yang menerima vaksin di PPV bukan kendalian KKM dan ProtectHealth Corporation, dengan masalah berlaku kerana PPV itu tidak menggunakan sistem MySejahtera serta menyebabkan sijil vaksin digital tidak dapat dipaparkan sebaik proses pemberian vaksin selesai.

"Sijil digital itu hanya akan dipaparkan di dalam MySejahtera setelah PPV bukan kendalian KKM atau yang dikendalikan Protect Health menghantar maklumat kepada MySejahtera," katanya.

Sebagai alternatif penyelesaian, kata Khairy, penerima vaksin yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 boleh menggunakan kad vaksinasi fizikal yang maklumatnya ditulis petugas kesihatan di PPV selepas proses suntikan.

"Jadi saya minta agar semua premis perniagaan menerima kad fizikal ini jika individu yang sudah lengkap divaksin tiada paparan sijil vaksin digital," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 5:44 PM