RAKAMAN sampah hanyut yang tular. FOTO tular
RAKAMAN sampah hanyut yang tular. FOTO tular
Hamzah Osman


Langkawi: Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) akan segera membersihkan sampah hanyut dan terapung di kawasan perairan berdekatan pulau pelancongan itu.

Ia susulan tular rakaman video berdurasi 43 saat di media sosial memaparkan sampah terapung yang didakwa dari arah perkampungan Bukit Malut.

Yang Dipertua MPLBP, Radzuan Osman berkata, pihaknya akan segera membersihkan sampah yang mencacatkan pemandangan itu.

"Memang betul sampah itu datang dari penempatan di Bukit Malut dan terapung di perairan pulau ini ketika musim tengkujuh dan air pasang besar.

"Ini kerana apabila air pasang besar sehingga ke rumah di penempatan itu, sampah yang sebelum ini dibuang akan dihanyutkan ke tengah laut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Radzuan berkata, ia boleh mencacatkan pemandangan dan menjejaskan imej pulau peranginan itu yang kini dibuka semula sebagai destinasi projek rintis gelembung pelancongan.

"Selain sampah yang dihanyutkan dari perkampungan Bukit Malut, ada juga sebahagiannya mungkin dihanyutkan dari negara jiran berdasarkan tulisan pada label botol yang terkumpul bersama sampah itu.

"MPLBP juga bersedia menganjurkan kerja pembersihan bersepadu dengan kerjasama syarikat konsesi pembersihan Environment Idaman (E-idaman) dan melaporkan perkembangannya kepada Jawatankuasa Pengindahan Bandar yang menganggotai Pasukan Petugas Gelembung Pelancongan Langkawi (PPGPL)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 5:39 PM