HISHAMMUDDIN, gambar fail. FOTO  NSTP
HISHAMMUDDIN, gambar fail. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Greater Klang Valley Special Task Force (GKVSTF) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menamatkan pengoperasian Greater Klang Valley Task Force Tentera Darat selepas ia beroperasi selama 41 hari bagi memperkasa usaha-usaha di bawah GKVSTF.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira situasi pandemik di Lembah Klang yang menunjukkan perkembangan positif.

Katanya, ia termasuk penurunan jumlah kes harian, kapasiti hospital semakin terkawal dan jumlah yang lengkap dua dos vaksin juga semakin meningkat.

"Dengan penamatan operasi Greater Klang Valley Task Force Tentera Darat ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus menumpukan terhadap pelbagai pengoperasian berkaitan Covid-19 di seluruh negara selari dengan komitmen yang saya suarakan pada 2 September lalu.

"Ia termasuk mendirikan lebih banyak Hospital Medan ATM di negeri-negeri yang dikenal pasti oleh KKM, menambah tim Combat Medic Vaccination Team (CMVT) bagi membantu KKM melaksanakan pemberian vaksin khasnya di kawasan pedalaman serta meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, pembabitan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) selama 41 hari dalam GKVSTF sangat efektif dan memberi impak besar sekali gus membantu KKM dalam menangani situasi berkaitan Covid-19 di semua hospital di Lembah Klang terutama ketika kemuncak krisis tempoh hari.

"Melalui pengoperasian ini, TDM sudah mengatur gerak 1,080 anggota bagi melakukan pelbagai jenis penugasan di dalam kawasan Zon Merah Covid-19 di hospital-hospital di Lembah Klang.

"Ia termasuk menugaskan Oxygen Carrier Team (OSCAR) bagi membantu proses mengangkat, mengisi semula dan menukar ganti sebanyak 14,258 silinder oksigen.

"Penglibatan pasukan ini bukan sahaja berupaya memastikan bekalan oksigen kepada pesakit tidak terputus, malah membolehkan petugas KKM lebih menumpukan terhadap tugas-tugas perawatan yang lain," katanya.

Beliau berkata, selain itu, terdapat pihaknya juga menempatkan Rapid Resupply Team (RRT) bagi membantu dalam proses pengambilan dan pengedaran peralatan-peralatan perubatan yang kritikal seperti katil, Oxygen Concentrators dan Ventilators ke semua hospital yang memerlukan.

"Dengan adanya RRT, proses itu dapat dilaksanakan dengan kadar kepantasan dan koordinasi yang optimum.

"Seterusnya, mengatur gerak Body Management Team (BMT) yang membantu mengurus 4,442 mayat pesakit Covid-19. Penglibatan tim ini membolehkan urusan pengendalian mayat dipercepatkan terutama ketika kemuncak krisis pandemik di Lembah Klang," katanya.

Katanya, tiada yang mudah bagi melaksanakan setiap operasi itu namun dalam apa jua keadaan, ATM tetap fokus dan memanfaatkan setiap kepakaran serta kemudahan yang dimiliki demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat di era Covid-19 yang mencabar ini.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua 1,080 anggota TDM yang terbabit dalam Greater Klang Valley Task Force Tentera Darat atas kesanggupan bertugas sebilang masa, merisikokan nyawa dan berjauhan dengan keluarga demi menyelesaikan misi yang diamanahkan.

"Terima kasih juga kepada semua anggota TDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atas khidmat bakti, disiplin dan kesungguhan dalam membantu negara perangi Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:28 PM