liyah Azhar (kiri sekali) berkongsi kegembiraan menerima anugerah kecemerlangan pelajar STPM 2020 di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah, Masjid Tanah hari ini. FOTO Hassan Omar
liyah Azhar (kiri sekali) berkongsi kegembiraan menerima anugerah kecemerlangan pelajar STPM 2020 di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah, Masjid Tanah hari ini. FOTO Hassan Omar
Oleh Hassan Omar


Masjid Tanah: "Saya berpegang pada pesanan arwah ayah supaya menuntut ilmu bukan untuk mengejar pekerjaan yang baik, sebaliknya ilmu sebagai panduan kejayaan di dunia dan akhirat," kata Aliya Azhar, 20.

Menurut Aliya, dia berusaha untuk ke menara gading supaya langkahnya itu dituruti dua adiknya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin di sini, berkata, pesanan bapanya, Allahyarham Azhar Ahmad sentiasa segar dalam sanubari.

"Pemergian ayah akibat barah usus pada Februari lalu amat mencabar fokus saya untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bermula 8 Mac lalu.

"Berkat doa dan nasihat ibu, Rosalinda Jahari, berusia 45 tahun, saya dapat harungi cabaran itu," katanya.

Namun demikian, Aliya bersyukur apabila Allah SWT menganugerahkan kejayaan cemerlang buatnya yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.17.

"Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan doa ibu, saya, kakak dan dua adik. Insya-Allah, saya akan mendaftar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 3 Oktober ini," katanya

Pada masa sama, anak yatim yang mencatat kejayaan cemerlang 9A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Nelly Mahirah Mohd Yusoff, 18, berkata, sejak pemergian arwah bapa, Allahyarham Mohd Yusoff Kassim akibat demam denggi pada 2009, dia tidak pernah alpa dengan pesanan arwah supaya menuntut ilmu bersungguh-sungguh.

"Ketika arwah meninggal dunia, saya berusia enam tahun namun saya ingat pesanannya yang mahu saya mencapai kejayaan dalam pendidikan dan Alhamdulillah, saya memperoleh 9A pada peperiksaan SPM," katanya.

Nelly Mahirah yang kini mengikuti pengajian dalam talian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan berjanji untuk berusaha mencapai kejayaan cemerlang dalam pengajian.

Kedua-duanya ditemui selepas menerima Anugerah Kecemerlangan Pelajar STPM 2020 daripada Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah di sini, hari ini.

Seramai 26 bekas calon STPM dan 150 bekas calon SPM 2020 dalam Parlimen Masjid Tanah yang mencapai kejayaan cemerlang, menerima RM200 hingga RM800, selain caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) berjumlah RM200 setiap seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 5:34 PM