Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Perdana Menteri menyuarakan kegusaran terhadap penubuhan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (Aukus) yang bakal memangkin kepada perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan meluahkan mengenai kegusaran kerjasama itu.

Bagaimanapun, Morrison memaklumkan dan memberi penjelasan kepada Malaysia mengenai penubuhan kerjasama Aukus adalah untuk membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Ismail Sabri mengambil maklum perkara itu dan menegaskan pendirian Malaysia terhadap penubuhan Aukus itu.

"Perdana Menteri Malaysia menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama AUKUS ini yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

"Pada masa sama, ia akan memprovokasi kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

"Sebagai negara dalam Asean, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan Asean sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN)," kata kenyataan itu.

Ismail Sabri menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian dan pendekatan sedia ada Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan begara ini termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea-UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (Southeast Asia Nuclear Weapons Free Zone-SEANWFZ).

"Selain itu, kedua-dua pemimpin turut mencapai kata sepakat dalam memperbaharui komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, khususnya di rantau Indo-Pasifik.

"Perdana Menteri Malaysia menggesa semua pihak supaya mengelakkan sebarang provokasi serta persaingan senjata di rantau ini, selain menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada," katanya.

Menurutnya, Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuhkan kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aspek termasuk dalam bidang pertahanan di bawah perkongsian strategik komprehensif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 4:32 PM