GAMBAR hiasan. Jemaah haji pada 22 Julai lalu. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. Jemaah haji pada 22 Julai lalu. FOTO AFP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kos pakej haji yang lebih tepat hanya dapat ditentukan selepas prosedur operasi standard (SOP) urusan haji diumumkan secara rasmi oleh Arab Saudi dan Malaysia apabila tiba masanya nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd (TH Travel) Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, sebagai anggaran awal, kos pakej haji tahun depan dijangka meningkat kira-kira 40 peratus.

"Menjelang musim haji 1443H/2022, Arab Saudi selaku tuan rumah urusan haji amat menitikberatkan hal ehwal keselamatan dan kesihatan jemaah haji, khasnya dalam pandemik Covid-19 yang masih dibendung.

"Melalui pengalaman Arab Saudi menguruskan 1,000 jemaah haji pada musim 1441H/2020 dan 60,000 jemaah pada musim 1442H/2021, pihak-pihak berkuasa Arab Saudi dijangka meneruskan program penjagaan kesihatan antaranya penjagaan kesihatan individu dan penjarakan sosial pada setiap masa dalam suasana pandemik Covid-19.

"Antara langkah-langkah penjagaan kesihatan yang perlu diamalkan oleh setiap jemaah adalah penggunaan pelitup muka diamalkan bersama dengan penjagaan kebersihan tangan dengan kerap serta penjarakan sosial semasa menggunakan kenderaan, kawasan ibadat (tawaf, saie, wukuf dan mabit), kawasan awam serta tempat penginapan," katanya.

Beliau berkata, apabila penjarakan sosial ini dilaksanakan maka ia akan melibatkan penambahan kepada kos berkait dengan pakej haji.

Ahmad Ruzman berkata, antaranya seperti apabila muatan bas dihadkan kepada 50 peratus, muatan bilik hotel pakej dihadkan kepada dua orang sebilik (bermakna tiada lagi pakej tiga atau empat orang sebilik), muatan khemah di Arafah dan Mina yang turut dihadkan.

Terdahulu semalam, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) Datuk Seri Razali Mohd Sham dilaporkan berkata pihaknya menjangkakan kos haji pada tahun depan boleh meningkat sehingga RM40,000.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) Dr Fathir Badri Al Hadad bersetuju dengan anggaran harga PAPUH.

Beliau berkata, ini berdasarkan musim haji baharu lalu, kerajaan Arab Saudi sudah menyediakan pakej haji antara RM15,000 hingga RM20,000.

"Ini disebabkan SOP ketat seperti, bilik berdua sahaja, kapasiti bas 50 peratus, kapasiti khemah di Arafah dan Mina juga 50 peratus, begitu juga makanan yang perlu siap dipek serta keperluan swab test.

"Peningkatan kos ini juga disebabkan jemaah perlu menyediakan insurans yang mempunyai perlindungan Covid-19.

"Untuk makluman, walau tanpa penambahan kos seperti di atas, untuk tahun-tahun sebelum pandemik kos mengerjakan haji adalah antara RM22,000 hingga RM23,000 yang mana sebahagian besarnya dibiayai oleh TH dan jemaah hanya perlu membayar RM9,980 sahaja," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak SAFTTA berkeyakinan, peningkatan kos sehingga RM40,000 ini hanyalah bersifat sementara sahaja kerana seluruh dunia perlu akur bahawa masyarakat global terpaksa hidup dengan Covid-19 yang bukan lagi pandemik, tetapi sebagai endemik.

SAFTTA juga berkeyakinan pihak TH dapat memainkan peranan penting dengan memberikan pembiayaan tambahan bagi menampung kenaikan kos.

"Ini memandangkan sudah dua kali TH tidak menghantar jemaah haji yang sepatutnya memberikan pulangan terkumpul lebih tinggi terhadap pelaburan dibuat oleh TH.

"Selain itu, TH juga perlu lebih telus di dalam membida untuk mendapatkan harga yang terbaik penyewaan hotel ketika musim haji.

"Oleh itu SAFTTA menyarankan agar TH terus mengekalkan kadar RM9,980 kepada jemaah yang dipilih untuk mengerjakan haji tahun hijrah 1443 ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 3:16 PM