Mohamed Farid Noh

Kulai: Belanjawan 2022 akan memberi fokus terhadap sektor pertanian sebagai usaha memperkasa jaminan makanan negara.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, fokus terhadap sektor pertanian penting supaya negara tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan import pada jangka panjang.

Katanya, ia sebagai kesinambungan Belanjawan 2021 dan pakej rangsangan yang turut memberi penekanan terhadap sektor pertanian dan jaminan makanan negara.

"Untuk Belanjawan 2022, jaminan makanan dan sektor pertanian akan tetap diberi keutamaan bagi membina asas untuk penambahbaikan supaya kita tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan import.

"Ia selaras dengan misi untuk menjadikan Johor sebagai 'Food Basket of Malaysia' bagi membangunkan industri agro makanan yang kompetetif. Ini kerana Johor adalah penyumbang terbesar jaminan makanan negara.

"Melalui bantuan kewangan, insentif serta geran yang akan dirangka daripada agensi kerajaan Pusat dan negeri, diharap Johor akan terus dapat meningkatkan pengeluaran makanan negara," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat ternakan ikan kelah, A Suko Genius Sdn Bhd, di Bukit Batu di sini, hari ini.

Tengku Zafrul (tengah) ketika melawat pusat penternakan ikan kelah di A Suko Genius Sdn Bhd di Jalan Ayer Hitam- Kulai dalam lawatan kerja dua hari di Johor. FOTO OMAR AHMAD
Tengku Zafrul (tengah) ketika melawat pusat penternakan ikan kelah di A Suko Genius Sdn Bhd di Jalan Ayer Hitam- Kulai dalam lawatan kerja dua hari di Johor. FOTO OMAR AHMAD

Tengku Zafrul dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Johor bermula hari ini, bagi meninjau sektor pertanian negeri ini selain mengadakan mesyuarat tertutup dengan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, agenda untuk menaikkan industri pertanian dan memperkasa jaminan makanan negara bagi meneruskan kesinambungan belanjawan tahun lalu.

"Secara keseluruhannya, melalui pakej rangsangan dan Belanjawan 2021, sebanyak 3.15 bilion diperuntukkan untuk sektor pertanian negara dan sebanyak 1.75 bilion disalurkan kepada peladang, penternak dan nelayan untuk projek berkaitan pertanian.

"Projek-projek telah dilaksanakan termasuk yang berkaitan logistik semasa PKP, kemudahan mikro kredit di bawah Agrobank dan projek-projek negeri termasuk di Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 2:48 PM