MOTAC menjelaskan gambar tular  adalah berita pada 20 Ogos 2020. FOTO Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
MOTAC menjelaskan gambar tular adalah berita pada 20 Ogos 2020. FOTO Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menafikan kesahihan gambar orang ramai bersesak di jeti Kuala Perlis, Perlis yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menjelaskan, gambar yang ditularkan adalah gambar lama iaitu berita yang disiarkan pada 20 Ogos 2020.

Katanya, penularan gambar itu boleh memberi tanggapan negatif berhubung projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi.

"MOTAC menegaskan gambar yang memaparkan situasi berkenaan adalah palsu serta memberi tanggapan negatif berhubung projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi dan boleh menganggu ketenteraman orang ramai khususnya penduduk Langkawi.

"Orang ramai disaran supaya berhenti daripada menyebarkan berita palsu sebaliknya merujuk laman sesawang dan media sosial rasmi MOTAC untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini," kata Pasukan Respons Pantas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak semalam tular di media sosial beberapa gambar di terminal jeti Kuala Perlis di mana ramai pelancong tempatan bersesak dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila tiada penjarakan fizikal seperti mana yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selepas sekian lama ditutup berikutan pandemik Covid-19, pulau pelancongan terkenal Langkawi kembali menerima kedatangan pelancong pada hari pertama gelembung pelancongan yang bermula Khamis lalu.

Dianggarkan kira-kira 3,200 pelancong akan tiba di sini menerusi tiga trip perjalanan feri dari Kuala Perlis, Perlis dan 18 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Projek rintis gelembung pelancongan domestik di Langkawi akan dijadikan kayu ukur bagi pembukaan pulau peranginan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 2:19 PM