Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: "Saya ketika itu yang berada di dalam bilik sebelum terdengar bunyi seperti meletup dan pada mulanya menyangka anak sedang memasak kerana ketika itu dia berada di dapur.

"Saya terkejut apabila dia berlari ketakutan memberitahu ada pokok jatuh di belakang rumah," kata mangsa tanah runtuh, Suhaimi Sulaiman, 61, yang menceritakan detik cemas kejadian di Kemensah Heights di sini.

Menurutnya, ada hujan di kawasan itu tetapi ia sudah lama reda sebelum kejadian tanah runtuh itu berlaku.

Katanya, kejadian berlaku sekitar 9.15 malam dan runtuhan itu menyebabkan laluan sungai di belakang kediaman disewanya itu sejak 2011 terhalang.

"Pokok tumbang dari atas bukit jatuh betul-betul di belakang rumah sehingga boleh dicapai dengan tangan," katanya.

Kesan tanah tunuh hingga menjejaskan kediaman penduduk di Kemensah Heights, Ampang malam tadi. Foto Fathil Asri
Kesan tanah tunuh hingga menjejaskan kediaman penduduk di Kemensah Heights, Ampang malam tadi. Foto Fathil Asri

Seorang lagi penduduk, Zul Hafiz Suhaimi, 27, berkata, dia ketika itu dengar seperti orang menarik meja dan disusuli dentuman kuat seperti guruh di belakang rumah.

"Apabila keluar, saya lihat pokok buluh dari atas bukit berada betul-betul di tingkap dapur.

"Ketika itu juga saya melihat jiran menjerit ketakutan dan terus berlari keluar dari rumah kerana panik," katanya.

Menurutnya, dia tinggal di rumah itu bersama ibu bapa dan adiknya, kini terpaksa menumpang sementara di rumah saudara lain.

Semalam, Harian Metro melaporkan 28 keluarga dari 19 rumah teres dua tingkat di Kemensah Height itu terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kejadian tanah runtuh terbabit.

Berita berkaitan

Kolam renang, belakang banglo 'mengelongsor' ke sungai

28 keluarga terjejas akibat tanah runtuh di Kemensah Height

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 12:51 PM