Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Beberapa nelayan mengambil masa kira-kira satu jam bagi menangkap seekor buaya berukuran hampir lima meter dengan menggunakan pukat sebelum berjaya dinaikkan berhampiran sebuah kedai makan di Kampung Contoh Bagan Ajam, di sini, petang tadi.

Buaya terbabit ditangkap pada 6.30 petang selepas sekumpulan pemancing di jeti nelayan dekat situ ternampak kelibat reptilia itu di permukaan air.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian dan bergegas ke lokasi bagi membuat pengesahan.

"Polis dimaklumkan, nelayan yang turut menyedari kehadiran buaya itu pergi ke lokasi dengan menaiki bot dan menghalang buaya berkenaan dengan menggunakan pukat.

"Selepas lebih kurang satu jam, buaya itu berjaya ditangkap dan dibawa naik ke pantai berdekatan sebuah kedai makan dekat situ," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

NELAYAN mengambil masa kira-kira satu jam menangkap seekor buaya. FOTO Ihsan Pembaca
NELAYAN mengambil masa kira-kira satu jam menangkap seekor buaya. FOTO Ihsan Pembaca

Terdahulu tular berhubung penangkapan buaya terbabit yang dianggarkan seberat 500 kilogram (kg) di media sosial. Difahamkan, buaya sama pernah muncul sebelum ini di perairan Bagan Ajam.

Noorzainy berkata, buaya itu dipindahkan ke Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seberang Perai Utara sementara menunggu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hadir untuk mengambil tindakan seterusnya.

"Setakat ini tiada mana-mana pihak tampil membuat laporan polis berhubung penangkapan buaya terbabit," katanya.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang juga turut berada di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Unit Nelayan Bagan Ajam, Mazlan Abdul berkata, pukat pertama yang digunakan nelayan untuk menangkap buaya berkenaan putus berikutan reptilia itu meronta untuk melepaskan diri.

"Bagaimanapun, nelayan menggunakan beberapa pukat lagi untuk memerangkap buaya itu sebelum ditarik ke pantai," katanya.

PASUKAN keselamatan memindahkan buaya yang ditangkap nelayan ke Pejabat APM Daerah Seberang Perai Utara. FOTO IHsan Pembaca
PASUKAN keselamatan memindahkan buaya yang ditangkap nelayan ke Pejabat APM Daerah Seberang Perai Utara. FOTO IHsan Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 10:01 PM