POKOK tumbang menghempap bahagian dapur sebuah rumah di Lorong Haji Rahmat, Taman Sri Tanjung, Semenyih. FOTO Ihsan Bomba
POKOK tumbang menghempap bahagian dapur sebuah rumah di Lorong Haji Rahmat, Taman Sri Tanjung, Semenyih. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Semenyih: Suami isteri cedera selepas sebatang pokok tumbang dan menghempap bumbung bahagian dapur rumah mereka di Lorong Haji Rahmat, Taman Sri Tanjung, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa, Rosli Rahmat, 58, dan isterinya, Norsilah Jabalawi, 53, dilaporkan cedera.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.14 malam.

"Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dan BBP Semenyih dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Penghuni rumah itu dilaporkan cedera di bahagian kepala dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum anggota bomba tiba.

"Setakat ini, kami masih belum mendapat identiti individu terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kes berasingan, Zulfikar berkata, dua kereta dihempap tiga pokok yang tumbang di Seksyen 5 Bandar Rinching, di sini, hari ini.

"Dalam kejadian ini, seramai enam anggota bersama satu jentera dari BBP Semenyih dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 6.49 petang.

"Dua kereta iaitu Proton Persona dan Proton Iris mengalami kerosakan akibat dihempap pokok berkenaan. Tiada mangsa cedera dalam kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 9:09 PM