FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan, setakat ini, tiada pembabitan pihak kartel disebalik kenaikan harga jualan ayam.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun, pihaknya akan mengadakan kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia bagi menyiasat di bawah undang-undang dikuatkuasakan.

Menurut beliau, KPDNHEP akan terus memberi fokus dengan memantau pergerakan harga ayam di pasaran menggunakan pendekatan yang telah dijelaskan daripada awal termasuk penguatkuasaan perundangan antipencatutan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"KPDNHEP memahami kerugian dialami oleh peniaga ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan perniagaan mereka.

"Kami ingin menasihati peniaga di setiap rantaian bekalan ayam supaya tidak mengambil tindakan drastik dengan menaikkan harga bagi menampung kerugian dialami sebelum ini," katanya pada kenyataan hari ini.

Sehingga 14 September lalu, KPDNHEP sudah melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap 164 premis membabitkan semua peringkat rantaian bekalan ayam.

Sebanyak 163 Notis Pendedahan Maklumat Barangan (NPMB) telah dikeluarkan kepada peniaga yang diperiksa bertujuan mendapatkan maklumat terperinci berhubung kos operasi dan kos belian.

"Pada masa sama, 145 Surat Pemberitahuan (SP) dikemukakan kepada peniaga di setiap rantaian pengedaran yang diperiksa bagi tujuan memberi makluman dan peringatan agar tiada perubahan harga dilakukan peniaga," katanya.

Alexander berkata, bagi menangani masalah kos tinggi makanan ternakan yang sering diadukan penternak, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

Menurutnya, perbincangan akan mensasarkan kos tinggi makanan ternakan seperti dedak ayam yang diimport, harga baka ayam dan anak ayam yang mempengaruhi harga ayam di peringkat pengguna.

"Ia diharap dapat diminimumkan serta diurus dengan baik," katanya.

Kata beliau, industri dan bekalan ayam serta makanan ternakan dikawal selia oleh Mafi dan kementerian sedia memainkan peranan berkaitan polisi harga ayam pengguna di pasaran.

"KPDNHEP prihatin dan mengambil maklum masalah harga makanan ayam yang tinggi serta turut menjadi faktor kepada kenaikan harga ayam di pasaran.

"Kira-kira 80 peratus makanan ayam adalah diimport dan kenaikan harga di peringkat global turut mempengaruhi isu harga ayam di pasaran negara.

"Sebagai langkah proaktif, KPDNHEP akan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Kementerian Kewangan bagi mencari penyelesaian jangka panjang yang munasabah serta boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk menstabilkan harga ayam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 6:00 PM