JALALUDDIN (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan komputer riba kepada penuntut universiti pada program di Kompleks UMNO Simpang Pertang. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
JALALUDDIN (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan komputer riba kepada penuntut universiti pada program di Kompleks UMNO Simpang Pertang. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Sebuah pusat rawatan bagi gelandangan yang menghidap masalah mental akan dibina di Kuala Lumpur bagi menempatkan golongan berkenaan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, satu jawatankuasa khas di peringkat kementerian ditubuhkan bagi mengatasi masalah mental dalam kalangan gelandangan bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Kata beliau, ketika ini, belum ada pusat bagi menempatkan gelandangan yang menghidap masalah mental.

"Pembukaan pusat berkenaan adalah perancangan jangka panjang kementerian. Kami sedang kenal pasti kawasan atau bangunan tertentu untuk dijadikan pusat rawatan mental ini.

"Kajian sudah dijalankan untuk melihat kaedah dalam menguruskan pusat berkenaan secara teratur bagi merawat golongan berkenaan," katanya ditemui selepas program penyerahan komputer riba kepada penuntut universiti di Kompleks Umno Simpang Pertang.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pertang Noor Azmi Yusof dan Adun Sungai Lui Mohd Razi Mohd Ali.

Pada program itu, 35 penuntut universiti di parlimen berkenaan menerima sumbangan komputer riba.

Jalaluddin berkata, penambahan jumlah gelandangan di ibu kota dipercayai berpunca selepas kebanyakan mereka hilang pekerjaan dan sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Gelandangan itu juga datang dari pelbagai negeri.

Kata beliau, ketika ini, sehingga 50 kes gelandangan dilaporkan mengalami masalah mental termasuk yang sudah berada pada tahap serius.

"Gelandangan mental tidak boleh ditempatkan sekali dengan gelandangan biasa dan di Kuala Lumpur, kita belum ada yang pusat untuk golongan berkenaan seperti di Melaka.

"Kita akan lihat bagaimana sebuah pusat yang menempatkan gelandangan mental di Melaka diuruskan sebelum kita mengguna konsep serupa di pusat gelandangan mental di Kuala Lumpur yang akan diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.

Sementara itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, kementerian akan menambah baik dan menyelesaikan masalah lif terutama di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Banyak masalah lif di PPR yang perlu diberi keutamaan untuk diselesaikan dengan kadar segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 2:02 PM