Sebahagian penumpang feri pertama tiba di Terminal Feri Kuah dari Terminal Feri Kuala Perlis. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sebahagian penumpang feri pertama tiba di Terminal Feri Kuah dari Terminal Feri Kuala Perlis. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tiga trip feri dari Terminal Feri Kuala Perlis hari ini terpaksa dilewatkan berikutan ramai dalam kalangan pelancong mendakwa tidak mendapat maklumat berkaitan ujian pengesanan Covid-19 perlu dilakukan dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, jadual perjalanan feri yang bermula jam 9.30 pagi dilewatkan ke 10 pagi manakala trip jam 10.30 pagi bertolak jam 11.30 pagi manakala jam 11.30 pagi dilewatkan ke jam 1.15 petang.

Beliau berkata, trip feri pertama yang sepatutnya membawa 240 penumpang hanya bertolak dengan jumlah kapasiti 86 penumpang orang sahaja.

"Ini berikutan setiap penumpang yang perlu menjalani ujian itu perlu menunggu antara 15 hingga 20 minit sebelum mendapat keputusan.

"Kebanyakan mereka mendakwa tidak mendapat maklumat berhubung perkara itu dan terus masuk ke kaunter tanpa menjalani ujian saringan.

"Berikutan itu, feri kedua yang bertolak jam 11.30 pagi dengan membawa seramai 290 penumpang termasuk baki penumpang yang sepatutnya menaiki feri pertama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharin berkata, feri ketiga pula bertolak jam 1.15 petang dengan membawa kesemua penumpang yang membuat tempahan hari ini selepas kesemuanya selesai menjalani ujian RTK.

Beliau berkata, feri terpaksa berlepas pada waktu itu disebabkan keadaan paras air yang semakin surut dan jika tidak penumpang feri terakhir itu terpaksa menunggu pada waktu malam.

"Untuk perjalanan esok, tiga trip disediakan pada waktu yang sama iaitu jam 9.30 pagi, 10.30 dan 11.30 pagi.

"Sehubungan itu, kita nasihatkan penumpang feri supaya membuat ujian RTK lebih awal bagi mengelak kelewatan seperti yang berlaku hari ini," katanya.

Baharin berkata, jumlah tiket penumpang yang sudah terjual untuk perjalanan esok adalah sebanyak 487 dan baki tiket yang masih belum dijual setakat ini adalah sebanyak 755.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 6:25 PM