ANGGOTA Hazmat melakukan siasatan pencemaran sungai di Kampung Baru Sri Aman, Seelong. FOTO Bernama
ANGGOTA Hazmat melakukan siasatan pencemaran sungai di Kampung Baru Sri Aman, Seelong. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Lapan suspek yang disyaki terbabit dalam insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, Selasa lalu, direman tiga hari bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, seorang lagi suspek yang ditahan sudah selesai diambil keterangan semalam dan dilepaskan dengan jaminan polis.

Katanya, perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Suhaila Shafi'uddin selepas JAS membuat permohonan tahanan reman terhadap lapan suspek berkenaan, pagi tadi.

"Semua suspek direman tiga hari bermula hari ini sehingga Sabtu. Ia bagi membantu JAS merakam keterangan kesemua suspek bagi melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya ketika dihubungi.

Media semalam melaporkan, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru, sebelum kesemua mereka dibenarkan kembali ke rumah lewat petang, semalam.

Ditanya sama ada pendakwaan akan dilakukan terhadap kesemua suspek yang ditahan reman itu, Mohd Famey berkata, JAS Johor berharap kesemua mereka akan didakwa.

"Ya, kita harap kesemua suspek akan didakwa secepat mungkin selepas kertas siasatan dilengkapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 3:40 PM