KUMPULAN pertama pelancong domestik yang menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) hari ini. FOTO M Hifzuddin Ikhsan
KUMPULAN pertama pelancong domestik yang menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) hari ini. FOTO M Hifzuddin Ikhsan
M Hifzuddin Ikhsan

Langkawi: Kira-kira 200,000 pelancong domestik disasar mengambil peluang mengunjungi Langkawi sehingga hujung tahun ini susulan pembukaannya di bawah program gelembung pelancongan bermula hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kira-kira 30,000 pelancong dijangka masuk ke pulau peranginan itu sepanjang bulan ini.

Katanya, kejayaan projek rintis gelembung pelancongan itu amat penting bagi kerajaan membenarkan pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan tempatan dalam tempoh terdekat.

"Pagi ini, kita menyaksikan pesawat pertama membawa pelancong dari Kuala Lumpur mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) bagi projek rintis gelembung pelancongan domestik.

"Sebanyak 18 penerbangan dijadual mendarat di Langkawi hari ini, selain perkhidmatan feri yang keseluruhannya bakal membawa kira-kira 3,200 pelancong," katanya pada sidang media di LTAL di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib menyambut ketibaan 159 pelancong yang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas lanjut, Nancy berkata, pihaknya berhasrat mencatat kembali pencapaian industri pelancongan yang menyumbang 15.9 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.

"Industri pelancongan adalah antara penyumbang ekonomi negara dan membuka banyak peluang ekonomi kepada rakyat tempatan yang terbabit dalam rantaiannya.

"Disebabkan itu, kita memerlukan komitmen semua pihak bagi memastikan kejayaan projek rintis ini dan pada masa sama prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi pelancong dan penduduk tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 2:27 PM