GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Hasbi

Seremban: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan mengeluarkan kompaun berjumlah RM99,000 bagi kesalahan tidak patuh prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berdasarkan statistik sehingga 6 September lalu, 53 kesalahan dikesan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, sepanjang Januari hingga 6 September lalu, pihaknya melakukan 430 pemeriksaan dan mengesan pelbagai kesalahan termasuk 53 kes tidak patuh SOP yang diwartakan mengikut Akta 342.

"Berdasarkan pemeriksaan pematuhan sektor perdagangan pengedaran, kami mengesan empat kesalahan utama membabitkan individu dan perniagaan.

"Satu kesalahan dikesan membabitkan pemilik premis gagal menyediakan kemudahan kod QR MySejahtera dan rekod kehadiran pelanggan.

"Dua kesalahan berkaitan premis beroperasi tanpa kebenaran atau bukan dalam kategori perkhidmatan perlu, 47 kesalahan membabitkan individu gagal merekodkan kehadiran di premis sama ada menggunakan aplikasi MySejahtera atau buku rekod serta tiga kesalahan berkaitan kedai dobi gagal menyediakan pekerja untuk mengawal kehadiran pelanggan," katanya.

Menurut beliau, justeru, 53 kes dikompaun dengan jumlah keseluruhan RM99,000.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut melaksanakan Ops Samar sempena pembukaan aktiviti dan jenis perniagaan bermula 18 Ogos lalu bagi negeri Fasa 1, 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri ini.

Tambah beliau, anggotanya yang berpakaian preman melakukan pemeriksaan dan memberi tumpuan terhadap kesalahan peniaga yang gagal membuat semakan pengambilan vaksinasi pelanggan.

"Sebanyak 259 premis diperiksa dan kami berpuas hati dengan kepatuhan pemilik premis di negeri ini kerana setakat 6 September lalu, kami belum mengesan kesalahan berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 1:37 PM