GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Paya Mengkuang, Sanggang, Temerloh, Pahang, bermula Jumaat ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di lokaliti berkenaan.

"PKPD di Kampung Paya Mengkuang akan dilaksanakan selama 14 hari bermula 17 September sehingga 30 September.

"Prosedur operasi standard (SOP) di PKPD itu adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Rodzi berkata, PKPD di Kampung Dumpiring Bawah, Ranau, Sabah, yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 30 September.

Beliau berkata, enam lokaliti PKPD lain iaitu tiga di Sabah dan masing-masing satu di Pahang, Sarawak serta Johor pula ditamatkan mulai esok.

"Di Sabah membabitkan Perumahan Pekerja Ladang Mayvin 2, Telupid; Kampung Tagaroh, Kota Marudu serta Kilang dan Kuarters Kilang Papan Cargo Timber, Kampung Biah, Keningau.

"Di Pahang adalah Kompleks Penjara Bentong termasuk Kuarters manakala di Sarawak membabitkan Kuarters Pekerja Sri Datai Mining Sdn Bhd, Mukah dan Kampung Orang Asli Simpang Arang, Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 8:15 PM