PENGARAH Bomba Johor Datuk Yahaya Madis (tengah) melakukan siasatan susulan  kejadian pencemaran di Kampung Baru Sri Aman. FOTO Bernama
PENGARAH Bomba Johor Datuk Yahaya Madis (tengah) melakukan siasatan susulan kejadian pencemaran di Kampung Baru Sri Aman. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Dibuang dari lori kontena menggunakan saluran paip terus ke Sungai Tawakal, di Seelong, Kempas, di sini.

Itulah kesimpulan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap insiden pembuangan sisa buangan kimia berjadual berbahaya

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kesimpulan berkenaan dibuat selepas JAS melakukan siasatan terperinci sejauh satu kilometer di Sungai Tawakal, di Kampung Baru Sri Aman.

Katanya, pembuangan sisa buangan kimia terjadual itu dipercayai dilakukan dalam kuantiti besar berikutan siasatan menemui kesan sisa kimia berbahaya melekat di tebing sungai serta pokok sekitarnya.

"Siasatan JAS mendapati sisa kimia yang dibuang sangat besar sehingga banyak bukti ditemui melekat di tebing sungai di samping banyak hidupan akuatik termasuk ikan yang ditemui mati.

"Kita percaya penjenayah alam sekitar membuang sisa kimia secara terus dari lori kontena menggunakan paip terus ke sungai.

"Setakat ini, sembilan suspek sudah ditahan membabitkan lima warga tempatan serta empat warga asing selain pemilik premis, bagi membantu siasatan insiden pembuangan sisa kimia ini.

"Sebuah premis stor yang menjadi lokasi simpanan termasuk lori yang digunakan dua hingga tiga syarikat, dikenal pasti menjadi punca utama pencemaran kimia yang berlaku berikutan bukti yang ditemui di stor berkenaan," katanya pada sidang media di lokasi kejadian di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, hari ini.

Media pagi ini melaporkan, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan dan sesak nafas, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam tadi itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung daripada 36 keluarga terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, keputusan analisis sampel sisa kimia yang dihantar ke Jabatan Kimia juga akan diketahui dalam masa tujuh hari lagi.

Katanya, bukti yang ditemui juga sangat jelas dan membolehkan siasatan dilengkapkan dalam masa terdekat.

"Premis stor berkenaan juga sudah diarahkan ditutup sementara dan dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kementerian tidak akan berkompromi dan akan memantau lebih ketat semua premis yang mempunyai lesen melupuskan sisa buangan terjadual berikutan kes pencemaran di Johor berlaku akan kerap.

"Suspek juga akan didakwa mengikut Seksyen 34 B Akta Alam Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan dendan maksimum RM500,000," katanya.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:45 PM