Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Siasatan terhadap penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice lengkap dan tiada keperluan memanggilnya semula, kata Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah.

Beliau berkata, polis sudah melengkapkan kertas siasatan membabitkan selebriti itu dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang dibuka bersabit laporan dibuat pendakwah, Ebit Lew.

"Saya dimaklumkan Caprice baru pulang ke Malaysia tapi kita (polis) tidak perlu panggil dia untuk rakam keterangan kerana sebelum ini, kita sudah emel soalan yang perlu dijawab.

"Dia sudah menjawab semua soalan diberikan dan kertas siasatan pun sudah lengkap. Jadi tiada keperluan lagi untuk panggil semula dan rakam keterangan secara bersemuka kecuali ada arahan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Perjudian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini, hari ini.

CAPRICE.
CAPRICE.

Mengulas lanjut, Ashari berkata, kertas siasatan berkenaan sudah dirujuk ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk penelitian kerana ia membabitkan kes berprofil tinggi.

Katanya, pihaknya menunggu arahan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi tindakan lanjut.

Harian Metro semalam melaporkan, siasatan kes membabitkan Caprice dan Muhammad Nadir sedang diteliti Bukit Aman.

Pada 22 Julai lalu, Ebit Lew dilaporkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk dirakam percakapan berkaitan isu misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin pada Julai lalu.

Susulan itu pada 2 September lalu, polis mengambil keterangan Caprice dan Muhammad Nadir menerusi emel.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 serta 504 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 5:04 PM