Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim memohon maaf secara terbuka mengenai kenyataannya sebelum ini berkaitan isu layanan dua darjat bagi solat Jumaat di masjid berkenaan, baru-baru ini.

Menerusi satu video yang dimuat naik di laman Facebook Masjid Putra, Ikmal berkata, berikutan itu, pihaknya akan memperbaiki keadaan terutamanya pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di masjid berkenaan.

"Saya Imam Besar Masjid Putra, ingin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam yang mengetahui kes ini secara jauh mahupun dekat atas reaksi saya yang dilihat agak keterlaluan berhubung video yang tular di media massa dan sosial pada Jumaat lalu.

"Dengan rendah hati saya ingin memohon maaf atas segala keterlanjuran berkenaan dan berazam serta berjanji akan memperbaiki keadaan terutamanya mengenai pelaksanaan SOP di Masjid Putra," katanya menerusi video yang dimuat naik, malam tadi.

IKMAL Zaidi.
IKMAL Zaidi.

Berikutan itu, Ikmal mengajak jemaah masjid berkenaan untuk terus mengimarahkan aktiviti sama ada bagi solat Jumaat atau fardu serta program yang dianjurkan oleh pihak Masjid Putra.

Terdahulu, Ikmal menerusi satu video menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu tular berkenaan dan menyatakan beliau tidak reda dengan penyebaran video yang tular itu.

Ikmal berkata, Masjid Putra sememangnya memperuntukkan kuota khas untuk VIP sebanyak 10 peratus, iaitu sebanyak 30 tempat daripada kapasiti 300 jemaah yang dibenarkan, dan untuk pegawai kerajaan berpangkat pengarah dan ke atas.

Beliau dilaporkan turut menggesa individu yang menularkan video itu tampil memohon maaf kepada pihak pengurusan masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 9:37 AM