Hishamuddin (kanan) bersama aktivis MHO menghantar memorandum ke Kedutaan Filipina hari ini. FOTO Ihsan MHO
Hishamuddin (kanan) bersama aktivis MHO menghantar memorandum ke Kedutaan Filipina hari ini. FOTO Ihsan MHO
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Badan bukan kerajaan, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Kedutaan Filipina menyegerakan proses penghantaran pulang rakyatnya yang ditahan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kota Kinabalu, Sabah.

Ia mengambil kira kos terpaksa ditanggung kerajaan Malaysia dalam menanggung semua tahanan di dalam depoh terbabit ketika menunggu dokumen daripada pihak kedutaan, selain tekanan perasaan semakin memuncak di situ.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya berpandangan ia tidak sepatutnya berlaku kerana bertentangan dengan nilai kemanusiaan untuk menahan seseorang di DTI dalam tempoh terlalu lama sedangkan mereka hanya menunggu dokumen berkaitan untuk proses penghantaran pulang ke negara asal.

"Kita difahamkan proses pengeluaran dokumen perjalanan hanya diproses selepas tahanan ditemuduga pegawai kedutaan ke depoh itu sebelum dihantar ke Manila bagi proses selanjutnya.

"MHO menerima maklumat pada tahun ini hanya sekali wakil kedutaan datang ke DTI Kota Kinabalu bagi membuat temu duga permohonan berkenaan dan kami berpendapat ia perlu dilakukan lebih kerap," katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan memorandum berhubung perkara itu di Kedutaan Filipina, hari ini.

Jumaat lalu, kira-kira 400 penghuni DTI Kota Kinabalu merusuh kerana dipercayai tidak berpuas hati apabila proses penghantaran pulang ke negara asal mereka tertangguh.

Mereka dikatakan terlalu tertekan dan meminta segera dihantar pulang ke negara asal mereka.

Hishamuddin berkata, MHO berpandangan satu mekanisma lebih mudah dan teratur perlu dilaksanakan bagi memudahkan pergerakan perjalanan tahanan pulang ke negeri asal dalam kadar segera tanpa membiarkan mereka di tahan terlalu lama di depoh Imigresen.

Katanya, pihaknya mencadangkan pihak Kementerian Dalam Negeri dan Kedutaan Filipina dan bersama kerajaan negeri Sabah duduk semeja dalam menangani isu ini secara bersepadu dan efisyen bagi mengelakkan kejadian merusuh berlaku lagi pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 10:29 PM