Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis Pulau Pinang memanggil 10 saksi, setakat ini bagi membantu siasatan berhubung laporan mendakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak mematuhi perintah kuarantin di rumah, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, antara yang memberi keterangan ialah pengadu, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN), Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Timur Laut dan Pegawai PKD Seberang Perai Utara.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Bagan itu sudah dipanggil bagi membantu siasatan pada 11 September lalu.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti sekiranya ada pelanggaran seperti didakwa atau tidak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Terdahulu, perbicaraan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang ditangguhkan kepada 22 September ini, selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. FOTO ARKIB NSTP
BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. FOTO ARKIB NSTP

Peguam Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah, anak guamnya diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September.

Berikutan itu, Pemuda Gerakan dan MCA Pulau Pinang kemudian membuat laporan polis terhadap Guan Eng yang didakwa melanggar tempoh kuarantin kendiri pada 1 hingga 10 September lalu, selepas beliau menghadiri sidang DUN pada 2 September.

Dalam perkembangan lanjut, Mohd Shuhaily mengingatkan orang awam supaya tidak perlu bimbang mengenai dakwaan kemungkinan berlaku serangan pengganas di rumah ibadat dan kawasan tumpuan ramai di beberapa negara di Asia Tenggara.

"Mengambil daripada kenyataan daripada Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani) yang menidakkan ancaman itu, kita sudah buat persediaan rapi dan meronda kepentingan di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 9:38 PM